Saya adalah seorang pelajar
undang-undang di sebuah institut pengajian tinggi di Lembah Kelang.
Sebagai seorang yang bakal menceburi bidang guaman, saya sering diserang
dengan soalan dan tuduhan yang bukan-bukan. Antaranya:
“Peguam adalah kerja yang hina kerana sanggup membela pesalah.”
“Apa hukum hakim buat keputusan yang salah?”
Dalam menjawab soalan sebegini, saya suka menggunakan hujah akal kerana saya tidak berapa mahir dalam dalil naqli.
Jadi, dalam perkara pertama, peguam sering difitnah sebagai golongan yang hina kerana membela pesalah. Benarkah begitu?
Kita lihat satu situasi. A dihadapkan ke
mahkamah kerana dituduh membunuh seorang wanita dengan kejam. Seluruh
masyarakat menghukum A sebagai pembunuh selepas melihat muka A di muka
hadapan akhbar. Walaupun mahkamah belum bersidang, tapi hukuman telah
dijatuhkan oleh masyarakat. Kemudian disiarkan pula wajah peguam bela
bagi A.
Maka peguam ini juga dituduh sebagai seorang yang tak berhati
perut kerana membela pembunuh.
Persoalan sekarang, atas justifikasi apa masyarakat menjatuhkan hukuman ke atas A?
Dalam situasi ini, peguam tersebut
bertindak atas prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak
dibuktikan bersalah. Salah kah prinsip ini? Adakah hanya kerana hanya
seorang suspek maka dia lah yang sebenar bersalah? Mudah benar kita
membuat andaian.
Peguam tersebut bersangka baik terhadap A
kerana bersangka jahat itu salah. Maka oleh kerana mahkamah belum
bersidang, tiada apa yang dapat menghalang peguam itu dari membantu
membuktikan yang A tidak bersalah.
Andai kata ada seorang saksi, B yang
melihat A membunuh. Maka adakah peguam itu harus tunduk saja kepada
hujah B itu? Sudah tentu tidak. Oleh kerana tidak diketahui siapakah
sebenarnya yang membunuh wanita itu, maka sudah tentu peguam itu akan
menentang hujah B bermatian. Bagi peguam itu, boleh jadi B tersilap, dan
boleh jadi juga B menerima rasuah.
Maka itu, peguam itu tetap membela A
bagi membuktikan yang dia tidak bersalah. Kita tidak tahu samada A
benar-benar bersalah atau tidak kerana prinsip yang diguna adalah
seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah.
Maka, salah kah bagi peguam itu
bersangka baik terhadap A? Sudah tentu tidak bukan? Jadi dengan prinsip
itu dan amalan bersangka baik ini, peguam itu akan berusaha membela A
bermatian kerana tiada yang mengetahui perkara sebenar kecuali A dan
Allah. Jadi selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman ke atas A, selagi
itu peguam itu mesti membela A demi mengelakkan seorang yang tidak
bersalah dianiyai.
Itu persoalan pertama.
Persoalan kedua, adakah hakim yang menjatuhkan hukuman yang salah itu berdosa?
Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda
bahawa jika seseorang itu berijtihad dan ia betul, maka baginya 2
pahala. Jika sekiranya ia berijtihad dan ia salah, maka baginya 1
pahala.
Bagaimana kah seorang hakim itu membuat
keputusan? Adakah secara membuta-tuli? Sudah tentu tidak! Hakim membuat
keputusan berdasar kepada apa yang ada di hadapan nya. Jika perkara itu
pada tafsirannya begitu, maka begitulah. Kalau hakim membebaskan suspek
kerana tidak cukup bukti, maka salah kah hakim? Sudah tentu tidak kerana
hakim tidak boleh membuat keputusan berdasarkan sentimen masyarakat.
Selagi tidak dibuktikan bersalah, selagi itu lah orang itu tidak
bersalah.
Jadi tiada kesalahan di atas bahu hakim
sekiranya keputusan itu rupanya salah. Kerana dia membuat keputusan
berdasar pada ijtihad selepas melihat segala bukti yang dikemukakan oleh
kedua belah pihak. Dan orang luar tak patut mempertikai keputusan ini
kerana sudah nyata tiada sebab orang itu perlu dihukum bersalah.
Hanya Allah dan suspek sahaja yang tahu
apa yang sebenar berlaku. Bagi seorang hakim yang tiada keupayaan untuk
berdialog secara langsung dengan Allah seperti nabi Musa, maka tidak
patut kita menyalahkan hakim yang langsung tak buat salah.
Ingat, seseorang itu tak bersalah selagi tak dibuktikan bersalah.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment