Antara bidang pengajian yang menjadi idaman pelajar jurusan sastera
ikhtisas (sains kemanusiaan dan kemasyarakatan) ialah undang-undang.
Tempat yang terhad di fakulti undang-undang universiti awam tempatan
menjadi rebutan. Pengajian undang-undang masuk dalam kategori kritikal,
umpama pengajian perubatan untuk pelajar sains.
Bilangan hakim di mahkamah masih belum mencukupi, manakala bilangan
peguam yang berdaftar hanya lebih kurang 12,000 orang. Permintaan
terhadap perkhidmatan perundangan juga menjangkau sektor korporat
sebagai penasihat undang-undang syarikat. Sebahagian lulusan
undang-undang juga melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor
falsafah untuk bergelar ahli akademik.
Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya
hanya menawarkan antara 80 hingga 100 tempat kepada lulusan STPM dan
matrikulasi. Hanya pelajar yang mencatat pencapaian terbaik di peringkat
prauniversiti, di samping penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris
yang baik di peringkat SPM dan Muet. Pembelajaran bahasa Arab juga
menjadi pilihan, justeru kefahaman tentang undang-undang syariah harus
ada buat pengamal undang-undang di Malaysia.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menghendaki pelajar
undang-undang menyambung pengajian dalam tempoh tambahan setahun untuk
turut bergelar sarjana muda undang-undang syariah. Universiti Teknologi
Mara pula menawarkan Diploma Pascasiswazah Amalan Undang-undang Syariah.
Universiti awam lain yang menawarkan kursus undang-undang ialah
Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu
(UMT).
Di samping kuliah asas teori dan amalan undang-undang, pelajar bakal menjalani aktiviti perbicaraan simulasi, iaitu moot court.
Pelajar undang-undang harus memiliki kebolehan untuk persediaan
mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil, serta menguruskan segala
dokumen yang berstatus undang-undang. Proses mahkamah untuk sebutan kes,
pendakwaan, pembelaan dan hukuman juga perlu difahami secara tuntas.
Hakim dan peguam juga tertakluk kepada etika yang luhur supaya keadilan
juga yang akhirnya bersuara dan menang. Tiada ruang untuk keraguan yang
munasabah supaya tidak berlaku hukuman dijatuhkan kepada orang yang
tidak bersalah. Tindakan membebaskan orang yang bersalah ialah juga
sejenis kesilapan, tetapi masih tidak seberat menghukum orang yang tidak
bersalah.
Pengamal undang-undang harus sentiasa mengemas kini pengetahuan ikhtisas
masing-masing memandangkan saksi dan barang bukti mungkin hanya dapat
dijelaskan melalu proses saintifik dan teknologi yang canggih. Pembacaan
jurnal berkala undang-undang dan persidangan undang-undang ialah antara
aktiviti wajib pengamal undang-undang. Konsep pembelajaran sepanjang
hayat ialah hakikat yang menjadi tanggungjawab penting.
Tindakan pelbagai pihak penguat kuasa undang-undang termasuk polis,
kastam, imigresen dan sebagainya pada akhirnya akan dirujuk kepada
proses undang-undang. Sebarang pertikaian politik, ekonomi dan sosial
juga memerlukan pentafsiran undang-undang. Maka, sangat jelas bahawa
dalam sesebuah masyarakat dan negara yang maju, perkhidmatan
undang-undang menjadi sebahagian keperluan hidup yang tidak dapat
dielakkan...
No comments:
Post a Comment