UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di Mahkamah Syariah atau
Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes.
Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.
Seseorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti
berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan
kepakaran membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai
ganjaran dan matlamat utama.
Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak
teraniaya sebagai keutamaan. Selain itu, jika rakan peguam yang lain
mendapat sesuatu kes yang besar seorang peguam hendaklah melihat ia
sebagai dorongan dan bukan mengambil sikap mencemburui peguam tersebut.
Antara ciri penting yang perlu ada pada sama ada peguam sivil ataupun peguam syarie adalah:
* Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.
Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana
tugasan itu memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan,
menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai
profesional tinggi peguam.
Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain
sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan.
Tidak ketinggalan juga pihak lawan juga perlu diberi penghormatan
sewajarnya dalam prosiding guaman.
* Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.
Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan
semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan
sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis
terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.
Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama,
peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan
sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili. Kemenangan
tidak harus dijadikan matlamat utama di dalam prosiding.
Seorang peguam yang baik bukan dinilai dari berapa banyak kes yang
dimenanginya tetapi sebaliknya adakah peguam berkenaan dapat memberikan
keadilan sewajarnya kepada semua pihak.
* Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu juga menjadi ciri penting seorang peguam yang baik.
Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan
pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku
atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum
difahami.
Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.
Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.
Walaupun kekananan peguam agak penting tetapi ia bukanlah
segala-galanya. Walau kanan mana sekalipun seorang peguam, sekiranya
tidak bersedia dengan kes, beliau bakal berhadapan dengan kekalahan.
* Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil
pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada
mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya.
Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang
diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan
memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan.
Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan
kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan
diberikan terhadapnya.
Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula
menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah
lagi menzalimi lawannya.
Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan
undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.
* Seorang peguam juga perlu sanggup berkorban masa, tenaga,
kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan
undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.
Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia akan membantu peguam
menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan
mendalam untuk kebaikan pelanggannya.
Kepakaran yang dimiliki dalam bidang perundangan bukanlah milik individu tetapi mesti dikongsi dengan orang lain.
* Adalah penting juga bagi seorang peguam mempunyai sikap suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.
Peguam tidak seharusnya terbabit dalam urusan undang-undang saja,
tetapi perlu turut sama dalam urusan menyelia kebajikan kepada
masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan,
khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.
Amat penting juga bagi para peguam menyediakan pelapis-pelapis yang
berkebolehan bagi mengambil alih tugas mereka pada masa akan datang
kerana generasi akan lebih terjamin haknya jika mempunyai peguam yang
cemerlang.
Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau
mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam
mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan
baik dan cemerlang.
Peguam perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi
kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau
menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis sama ada
sistem sivil mahupun syariah.
Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan
perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh
keadilan seperti diperuntukkan undang-undang.
Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan
meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan
kepada pelanggan alternatif menyelesaikan pertelingkahan dan masalah
seperti menggunakan mediasi dan sebagainya.
Seorang Peguam Syarie pula mempunyai piawaian yang lebih tinggi
kerana mereka terikat dengan undang-undang Islam dan hukum syarak.
Kebertanggungjawaban kepada Allah adalah yang paling tinggi harus diletakkan oleh seseorang peguam syarie.
Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: "Hakim itu ada tiga
jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka..." Ia sangat
memberi penekanan mengenai konsep integriti.
Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam
kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam
yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.
Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan
kepada kebatilan. Justeru, peranan peguam sangat besar sebagai pembantu
mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang
berhak.
Profesion kepeguaman khususnya kepeguaman Islam adalah profesion yang amat dihormati dan penuh dengan cabaran.
Seorang Peguam Muslim bukan sahaja dikehendaki berjaya dalam
profesionnya di mahkamah tetapi juga diharap menjadi juara memartabatkan
undang-undang Islam khususnya di Malaysia.
Walaupun jumlah peguam Muslim di Semenanjung Malaysia sudah
menghampiri separuh dari jumlah peguam yang beramal, namun impak yang
diberi oleh peguam Muslim di Malaysia secara relatifnya amatlah kecil.
Peguam Muslim seharusnya menganjak paradigma dengan lebih mengambil
bahagian di dalam semua organisasi bagi membantu matlamat menegakkan
kedudukan Islam di tempat yang sewajarnya.
Keenam-enam ciri yang disebutkan di atas perlu disemai di dalam
setiap diri peguam Muslim sama ada sebagai peguam sivil atau peguam
syarie ataupun kedua-duanya sekali.
Blackjack, Slots, Table Games - JT Hub
ReplyDeleteJT Live Casino is 순천 출장안마 your new favorite casino in Las 광주광역 출장마사지 Vegas. With 밀양 출장안마 over 3000 slots and hundreds of table games, 삼척 출장샵 you're sure to have something for everyone. From slots, to 부천 출장샵